dbuana

Wednesday, October 20, 2010

25 NABI DAN RASUL

Rukun iman yang kedua ialah mempercayakan Rasul-rasul dan Nabi-nabi..

Wajib atas setiap muslim mempercayai bahawa Allah AWT telah mengutuskan kepada manusia banyak Rasul-rasul dan Nabi-nabi di masa yang lalu sejak manusia tercipta iaitu Adam ( dan ia nabi yang pertama) hinggalah Muhammad SAW yang menjadi penutup kepada kenabian. Selepas Nabi Muhammad SAW, tidak akan ada lagi Nabi atau pun Rasul walaupun ada sesetengah orang yang mempunyai pengikut yang ramai, yang berjaya menjadikan Islam sebagai topeng menyembunyikan kemungkaran yang mereka lakukan bercita-cita menjadi Rasul.


Apa erti Rasul ?


Rasul dalam pengertian ilmu Tauhid ialah seorang lelaki ( BUKAN wanita) yang dipilih oleh Allah untuk menerima arahan, ajaran, berita dan amaran yang dinamakan WAHYU dari Allah SWT melalui malaikat Jibrail. Rasul ini juga diperintahkan untuk menyampaikan wahyu kepada kaumnya dan kepada umat manusia sebagaimana di firmankan Allah dalam surah Saba' ayat 28 :
"Kami (ALLAH) telah mengutuskan engkau, hai Muhammad, kepada sekelian manusia..."

Apa erti Nabi ?

Nabi ialah seorang lelaki yang dipilih oleh Allah untuk menerima wahyu melalui Jibrail, tetapi Nabi TIDAK diperintahkan untuk untuk menyampaikan wahyu kepada manusia. Kewajipan nabi itu ialah untuk menerangkan dan menyokong wahyu-wahyu yang telah didatangkan kepada Rasul-rasul yang terdahulu dari Nabi tersebut atau semasa Nabi tersebut.

Rasul dan Nabi adalah manusia. Maka harus Rasul & Nabi bersifat dengan sifat manusia. Tetapi pangkat Rasul & Nabi bukanlah diperolehi dengan hasil usaha manusia itu. Sebaliknya ianya adalah pilihan Allah.


Sifat-sifat Rasul & Nabi

Ada 4 sifat yang Wajib bagi Rasul/Nabi. Ada 4 sifat yang Mustahil bagi Rasul/Nabi. Ada satu sifat yang Harus bagi Rasul/Nabi.

  • Siddiq -maknanya Benar. Apa yang disabdakan oleh Rasul/Nabi adalah benar dan dibenarkan kata-katanya. Siddiq dan sadiqul masduq. Rasul/Nabi tidak berkata-kata melainkan apa yang telah diwahyukan oleh Allah SWT. Mustahil Rasul/Nabi bersifat dengan sifat KIZZIB (Dusta ). Mustahil Rasul/Nabi mengatakan sesuatu yang tidak dia ketahui dan tidak diwahyukan Allah kepadanya. Firman Allah bermaksud: Tidaklah dia (Rasulullah SAW) mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4). Jadi jika ada orang yang mendakwa "Rasulullah berjanji saya akan menjadi Perdana Menteri lagi 3 bulan".tetapi setelah lebih 3 bulan dia masih tak jadi PM, hakikatnya dia telah pun mengatakan Rasul/Nabi seorang pendusta dan menafikan bahawa Rasul/Nabi itu bukan seorang yang sadiq dan bukan sadiqul masduq (kata-katanya adalah palsu dan tidak diwahyukan ). Fahaman begini adalah sesat lagi menyesatkan serta merosakkan aqidah. Tidak ada alasan yang boleh menafikan sifat Siddiq dan sifat sadiqul masduq Rasul/Nabi walaupun menggunakan alasan “pengikut belum bersedia”.
  • AMANAH- Amanah ialah Rasul/Nabi akan melakukan sesuatu serta melaksanakan hukum-hukum Allah dengan benar dan tepat sebagaimana yang diwahyukan Allah SWT. Dan juga Rasul/Nabi tidak memungkiri janji. Maknanya, kalau Rasul/Nabi berjanji “lagi 3 bulan Ashaari akan jadi Perdana Menteri”, maka WAJIB Ashaari akan jadi Perdana Menteri. Jika tidak berlaku juga, maka Ashaari telah pun berdusta atas nama Rasul/Nabi.
  • “Barangsiapa yang berdusta atas nama ku, siapkanlah tempatnya di dalam api neraka “ (Bukhari, Muslim )Maka mustahil Rasul/Nabi bersifat KHIANAT iaitu tidak amanah dan mungkir janji.
  • TABLIGH- iaitu menyampaikan. Rasul/Nabi menyampaikan kepada umatnya apa yang Allah wahyukan kepadanya. Mustahil Rasul/Nabi bersifat dengan sifat KITMAN iaitu menyembunyikan.
  • FATANAH -iaitu bijaksana. Rasul/Nabi mampu memahami perintah-perintah Allah dengan betul & tepat. Mampu pula berhadapan dengan penentang-penentangnya dengan bijaksana dengan bukti-bukti yang kukuh . Mustahil Rasul/Nabi bersifat dengan sifat Jahlun iaitu bebal. Dan satu sifat yang jaiz atau sifat yang harus bagi Rasul/Nabi ialah Aradhul Basyariyah iatu untuk bersifat dengan sifat-sifat yang dipunyai oleh manusia-manusia biasa. Seperti ingin makan, berkahwin, mempunyai zuriat dan sebagainya.


25 NABI YANG WAJIB DIKETAHUI

1. Nabi Adam as
2. Nabi Idris as
3. Nabi Nuh as
4. Nabi Huud as
5. Nabi Shaleh as
6. Nabi Ibrahim as
7. Nabi Ismail as
8. Nabi Luth as
9. Nabi Ishaq as
10. Nabi Ya'qub as
11. Nabi Yusuf as
12. Nabi Syu'aib as
13. Nabi Ayyub as
14. Nabi Dzulkifli as
15. Nabi Musa as
16. Nabi Harun as
17. Nabi Daud as
18. Nabi Sulaiman as
19. Nabi Ilyas as
20. Nabi Ilyasa as
21. Nabi Yunus as
22. Nabi Zakaria as
23. Nabi Yahya as
24. Nabi Isa as
25. Nabi Muhammad saw





No comments:

Post a Comment